Friday, August 23, 2019

ASBABUN NUZUL

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika turun ayat (Surah Al-Insaan 76:8) kaum Muslimin menganggap bahawa orang yang kurang sedekahnya tidak akan diperolehi pahala. Disamping itu juga mereka menganggap bahawa orang yang berbuat dosa kecil seperti berbohong, mengumpat adalah tidak tercela serta menganggap ancaman api neraka dari Allah SWT hanya disediakan bagi orang yang melakukan dosa besar.

maka Allah menurunkan ayat ini (Surah al-Zalzalah : 99 : 7-8) sebagai bantahan anggapan mereka itu. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Said bin Jubair)

Thursday, August 22, 2019

AYAT 1

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,


TAFSIRAN AYAT

BUMI BERGONCANG

Inilah gambaran yang digambarkan kepada orang-orang Mukmin tentang permulaan kejadian Qiamat. Gaya Bahasa Arab yang unik mampu menterjemahkan bait-bait ayat kepada peristiwa yang dapat dirasai dan dapat digambarkan di dalam kotak fikiran sesiapa yang memahaminya. Sifat bumi pula yang tidak sabar untuk menzahirkan apa yang telah manusia lakukan.

Bumi akan digoncangkan, digegarkan sehingga semua yang ada diatasnya termasuk bangunan-bangunan runtuh musnah. Bumi digegarkan oleh Allah SWT. Goncangan Allah, gegaran Allah dan gempa dari Allah adalah goncangan, gegaran dan gempa yang sangat dahsyat. Tiada yang sedahsyat ini sebelum dan selepas daripada ini. Setiap penjuru bumi merasai gegaran ini, tiada terkecuali. Bagaikan sebiji batu dibalingkan ke dalam air, riak kocakkan air terasa disekelilingnya.

AYAT 2

Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,


TAFSIRAN AYAT

BUMI MENGELUARKAN ISINYA


Kemudian tiupan sangkakala kedua berbunyi, perut bumi tidak sabar lagi untuk mengeluarkan segala bebanannya yang berat. Bukan gunung, bukit bukau dan pokok-pokok besar yang membebankannya. Selama ini dia bersabar dengan perintah Allah SWT supaya menyimpan semuabebanan seperti bahan logam termasuk emas, perak, intan berlian, bahan bakar seperti minyak yang semuanya ketika ini menjadi rebutan manusia. Tetapi ketika itu, semuanya tak diendahkan dan tubuh manusia yang kaku menjadi mayat turut dihamburkan keluar. Itulah babanan berat bagi perut Bumi. Allah SWT telah memberi keizinan kepadanya untuk mengeluarkan semua khazanah yang membebankannya.

Muslim dan at-Tarmizi meriwayatkan dari Abu Hurairah katanya Rasulullah SAW bersabda :
"Bumi akan memuntahkan seluruh khazanahnya yang mahal seperti bongkahan emas dan perak. Lalu tampillah orang yang membunuh dan dia berkata :'Aku membunuh disebabkan (barang) ini.' Kemudian tampil pula orang yang memutuskan silaturrahim dan dia berkata :'Aku memutuskan silaturrahim kerana (barang) ini.' seterusnya tampil pula orang yang mencuri berkata : 'Tanganku dipotong kerana (mencuri barang) ini.' Akhirnya semua mereka meninggalkan bongkahan tersebut tanpa mengambilnya sedikitpun."

AYAT 3

Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"


TAFSIRAN AYAT

APA YANG SEBENARNYA TERJADI DENGAN BUMI?

Dikala itu, manusia yang musyrik merasa gerun dan terkejut. Mereka tertanya-tanya, Eh apa ni?, "Apa sudah berlaku?", "Kenapa jadi begini?". Persoalan demi persoalan yang dilontarkan oleh mereka terhadap situasi yang berlaku.

Sebelum ini mereka pernah melihat gempa bumi, Tsunami, Puting Beliung dan beberapa kejadian bencana alam. Ianya memang teruk dan menakutkan. Tetapi tidaklah setanding dengan yang ini ianya maha dahsyat. Memang tidak terbayang dan terfikir di dalam kotak bahawa akan berlaku peristiwa sedahsyat ini.

AYAT 4

Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya :


TAFSIRAN AYAT

BUMI BERBICARA

Pada hari itu, Bumi akan mendedahkan segala rahsia perbuatan manusia. Dia menjadi saksi. Setiap detik dan setiap saat dia melihat gelagat manusia. Ada perbuatan baik dan ada perbuatan jahat.

Imam Ahmad, Al-Tarmizi dan al-Nasa'i dari Abu Hurairah katanya; " Pada suatu hari Rasulullah SAW membaca ayat diatas, kemudian Baginda bersabda :"Adakah kamu tahu apakah khabar berita bumi?" Mereka berkata; "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Sabda baginda : "Khabar beritanya ialah kesaksiannya ke atas setiap orang lelaki dan perempuan terhadap segala perbuatan yang dilakukan di atas permukaannya. Ia berkata ;"Sifulan telah melakukan sekian sekian, pada hari sekian sekian." Itulah (maksud) khabarnya."

AYAT 5

Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).


TAFSIRAN AYAT

BUMI MENJADI SAKSI BAGI ORANG YANG RAJIN BERZIKIR

Apabila tiba masanya, Allah SWT mengarahkan bumi untuk melakukan semua ini. Bumi adalah makhluk Allah Ta'ala yang patuh (Islam). Semua makhluk selain dari manusia dan jin adalah Islam. Mereka patuh dan tunduk kepada perintah Allah Ta'ala.

Bumi menghamburkan khazanahnya, kemudian berkata-kata menjadi saksi kepada perbuatan manusia. Semua ini adalah perintah Allah SWT. Dia patuh dengan arahan ini kerana bumi adalah makhluk yang patuh kepada perintah Tuhannya.

AYAT 6

Pada hari itu manuasia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.


TAFSIRAN AYAT


MANUSIA BANGKIT

Manusia berangkat menuju ke tempat penghisaban. Semua manusia akan dihisab, termasuklah orang-orang kafir. Orangkafir akan tetap merasai kedahsyatan mahsyar (hisab/mizan dan lain-lain) sebagai penghinaan Allah kepada mereka dimana akhirnya mereka tetap ke neraka.